Imperial God Emperor CHapter 180 – Shock and suspicions Bahasa Indonesia
Translator: Aran
Untuk menghadapi seorang ahli tahap Lautan Pahit (Bitter Sea), terutamanya Zhang San—seseorang yang telah mencapai tahap Lautan Pahit sejak lama dahulu—tidak seorang pun menyangka bahawa Ye Qingyu mampu terselamat.
Perbezaan antara kedua-dua alam itu ibarat jurang antara Langit dan Bumi.
Sebab mengapa Wen Wan mengamuk adalah kerana dia merasakan peluang Ye Qingyu untuk terselamat adalah sangat tipis.
Malah Liu Zongyuan dilanda kemarahan yang memuncak dan tidak dapat menahan Wen Wan lagi. Dia tidak lagi mempedulikan apa-apa dan berseru dengan suara lantang, “Ketua Zhang, tindakan kamu terlalu kejam dan melampau. Ye Qingyu adalah bintang masa depan Empayar, dan telah memberi sumbangan besar kepada Perkampungan Youyan. Untuk membunuhnya sesuka hati, apa yang telah kamu lakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah terlalu melampau. Hari ini, walau apa pun yang terjadi, kamu harus memberi penjelasan kepada kami.”
Liu Zongyuan merobek sama sekali sebarang topeng kemesraan dengan Zhang San.
Lin Lang, Yi Sance, dan yang lain hanya mampu mencemuh dengan dingin.
Zhang San berpusing dengan ganas, merenung tajam ke arah Wen Wan dan Liu Zongyuan. Niat membunuh meruap dari lubuk hatinya. “Haha, anjing yang menggigit orang tidak menyalak. Siapa sebenarnya kamu berdua, sehinggakan sebelum ini kamu tidak berani mengeluarkan sebarang bunyi di hadapan aku, tetapi sekarang melompat keluar menyalak seperti orang gila? Haha, jika aku mahu membunuh seseorang, adakah aku masih perlu meminta izin daripada dua ekor anjing kecil ini dan membuat laporan kepada kamu?”
“Keparat, aku akan berjuang sampai mati dengan kamu!” Wen Wan bertindak seperti harimau yang hilang akal, meluru ke hadapan, bersedia untuk menyerang.
Pada saat ini, “Wen Tua, cepat berhenti.”
Satu suara yang familiar terdengar.
Semua orang merasakan penglihatan mereka menjadi kabur dan melihat satu susuk tubuh melompat keluar dari kepulan debu di belakang Zhang San, menahan Wen Wan daripada terus belayar.
Jubah putihnya berkilau bagaikan salji.
Orang ini tidak lain tidak bukan ialah Ye Qingyu.
“Lepaskan aku, kau babi… Selepas ditahan, reaksi naluri pertama Wen Wan adalah menderam kemarahan. Tetapi dia baru sahaja menjerit seketika apabila dia tiba-tiba menyedari sesuatu. Memusingkan kepalanya untuk melihat, dia melihat wajah yang amat familiar muncul di sisinya. Pemuda yang pada mulanya disangkanya telah lama mati itu rupa-rupanya masih bernyawa.
Fikirannya menjadi kosong sama sekali.
“Adik Ye, awak… awak masih hidup?” Keadaan mental Liu Zongyuan lebih stabil dan dia merupakan orang pertama yang bertindak balas.
Ye Qingyu mempamerkan wajah serba salah. “Kata aku, Wen Tua, boleh tak awak letakkan sedikit keyakinan terhadap aku, kenapa pula saya akan mati? Haha, saya ni orang yang Yan Buhui pun tak mampu bunuh. Kalau ada sesiapa yang mahu membunuh saya, tidak kira siapa pun mereka, mereka pasti perlu membayar harga yang mahal!”
Liu Zongyuan tidak sempat berkata apa-apa sebelum Wen Wan di sisinya mengamuk sekali lagi.
“Keparat…” Wen Wan menderam marah, melayangkan satu tumbukan tepat ke dada Ye Qingyu. “Aku ingat aku sudah pesan dekat kau sialan supaya jangan menakutkan orang sesuka hati, tapi kau buat-buat mati lagi rupanya!”
“Aduh…”
Ye Qingyu membuka mulutnya dan memuntahkan semburan darah.
“Eh? Awak tak apa-apa ke?” Wen Wan terkejut melihat keadaan itu, pantas menarik semula tumbukan kedua yang hampir dilepaskannya.
Ye Qingyu mempamerkan wajah pahit. “Kalau awak tumbuk saya beberapa kali lagi, saya betul-betul akan cedera parah… Wen Tua, boleh tak awak berlembut sikit? Setiap kali saya nampak awak, awak sambut saya dengan penumbuk. Ia membuatkan saya mengalami tekanan psikologi setiap kali bersua dengan awak.”
Wen Wan mengayunkan penumbuknya dengan perasaan geram. “Aku, bapak kaulah yang hanya risaukan kau, bajingan kecil…”
Ye Qingyu turut tersentuh di lubuk hatinya.
Kali ini, Wen Wan dan Liu Zongyuan benar-benar bertindak menentang Zhang San, salah seorang tokoh besar di Perkampungan Youyan, semata-mata kerana panik demi keselamatannya. Siapakah sebenarnya Zhang San? Ye Qingyu benar-benar faham hari ini, betapa besarnya keberanian yang diperlukan oleh dua orang di hadapannya ini untuk menegur Zhang San di khalayak ramai?
Terutamanya Liu Zongyuan. Sebelum ini, Ye Qingyu memang menganggapnya sebagai seorang rakan, tetapi hanya sekadar rakan biasa.
Namun kini, Ye Qingyu tahu bahawa pegawai pertempuran ketenteraan itu adalah seorang lelaki sejati. Dia seorang yang teguh dan berpendirian tegas, seorang yang benar-benar layak dijadikan sahabat.
Ye Qingyu tidak biasa menggunakan kata-kata untuk meluahkan emosinya sendiri.
Tetapi dia akan selama-lamanya mengenang pemandangan ini.
Hanya selepas Wen Wan memeriksa Ye Qingyu dari atas ke bawah dan mengesahkan bahawa pemuda itu tidak mengalami sebarang kecederaan tersembunyi, barulah dia boleh melepaskan kerisauannya.
Bagi orang lain pula, mereka terjerumus ke dalam rasa terkejut yang amat sangat sehingga tidak mampu berkata apa-apa.
Ye Qingyu masih hidup?
Malah, kecederaannya nampaknya tidak begitu serius…
Ini…
Pandangan yang tidak terbilang banyaknya beralih ke arah Zhang San dalam sekelip mata itu.
Tokoh besar ketenteraan itu tidak membunuh Ye Qingyu pada saat-saat awal tadi. Tiga bunyi dentuman yang kuat dan menakutkan itu serta gelombang *yuan qi* yang hampir menyebabkan seluruh Menara Kuda Putih runtuh, sebenarnya apakah semua itu? Mungkinkah Ye Qingyu telah bertempur secara berdepan dan menahan serangan Zhang San?
Tidak kira sama ada Lin Lang, Yi Sance, atau pelbagai individu lain yang tergolong dalam kem atau faksi utama, mereka merasakan perkara itu agak tidak masuk akal.
“Sebenarnya apa yang telah berlaku?” Lin Lang secara diam-diam mendekati Zhao Ruyun dan bertanya.
Wajah Zhao Ruyun pucat lesi. Dia menggelengkan kepala tanpa berkata apa-apa.
Walaupun dia seekor khinzir yang bodoh sekalipun, dia pasti tahu untuk tidak mendedahkan apa yang berlaku di dewan tadi. Jika tidak, Zhang San pasti akan melapahnya hidup-hidup. Bagi Zhang San, perkara ini sememangnya satu penghinaan yang besar. Dia sama sekali tidak akan membenarkan sesiapa pun mengetahui tentang aibnya itu.
Zhao Ruyun kini berada dalam keadaan panik dan terkejut yang teramat sangat.
Dia tidak mampu mempercayai bahawa Ye Qingyu benar-benar mampu berlawan secara langsung, bahkan mencederakan Zhang San.
Dia benar-benar tidak dapat membaca kemampuan Ye Qingyu langsung.
Namun ada satu perkara yang dia pasti. Zhao Ruyun bersumpah dalam seumur hidupnya, dia tidak akan sesekali berdepan dengan raksasa seperti Ye Qingyu lagi. Walaupun hatinya dipenuhi rasa putus asa dan kekalahan, dia harus akui bahawa dia dan Ye Qingyu tidak berada pada tahap yang sama.
Suasana di dewan besar itu sedikit janggal.
“Budak kecil, siapa sangka kau mempunyai sedikit tahap penanaman. Nampaknya aku silap menilai.” Zhang San memandang Ye Qingyu seraya mendengus dingin. “Tetapi kau masih belum cukup kuat. Masih ada jarak yang jauh untuk kau tawan jika kau mahu menjatuhkan aku. Tunggu dan lihat, suatu hari nanti kau akan melihat kekuatan aku yang sebenar.”
Sebaik sahaja selesai berkata demikian, Zhang San berpusing dan melangkah keluar dari dewan besar.
Kumpulan orang ramai yang berpusu-pusu masuk melalui pintu besar tadi bergegas membuka laluan seolah-olah mereka sedang mengelakkan diri daripada makhluk halus, ular, atau kala jengking.
Zhang San membawa Zhao Ruyun beredar dari dewan besar itu, menuju ke luar Menara Kuda Putih. Di bawah kawalan empat orang pengawal di luar, mereka perlahan-lahan hilang di celah-celah jalan raya di kejauhan.
Ketika itu, langit sudah mula gelap.
Sinar senja terakhir meratai jalan-jalan raya.
Waktu larangan hampir tiba. Hanya tinggal segelintir orang sahaja di jalanan, menjadikannya kelihatan sangat lengang.
Susuk tubuh Zhang San dalam temaram senja itu kelihatan agak kesepian.
Tanpa diketahui apa yang terlintas di fikirannya, dia tiba-tiba menoleh untuk memandang Menara Kuda Putih.
Memandangkan belakang badannya menghadap matahari, tubuhnya menghalang sinaran cahaya itu. Oleh itu, riksi wajahnya pada detik itu diliputi bayang-bayang dan amat kabur. Namun, di sebalik sepasang matanya yang sepet dan panjang bagaikan bilah pedang, terbias kilatan dingin yang amat mendalam.
Sesiapa sahaja yang melihat pandangan itu pasti akan menggigil ketakutan.
Hanya selepas Zhang San dan kumpulannya lenyap di penjuru jalan di kejauhan, barulah sebahagian besar orang ramai menarik nafas lega.
Pandangan semua orang sekali gus beralih kembali kepada Ye Qingyu.
Setiap orang mula menilai semula pemuda itu akibat kejutan ekstrem yang mereka alami.
Pada mulanya, semua orang menyangka bahawa dia hanyalah watak picisan. Sekarang, mereka tidak dapat menahan diri daripada memikirkan hal itu dengan lebih mendalam. Apabila mereka mengimbas kembali dengan teliti segala kejadian sejak pemuda itu menjejakkan kaki ke Perkampungan Youyan, semakin ramai yang menyedari bahawa tuan baharu Menara Kuda Putih itu sebenarnya tidak semudah yang disangka.
Sekurang-kurangnya berdasarkan kejadian hari ini, adalah amat berkemungkinan bahawa Ye Qingyu telah berdepan secara langsung dengan tiga tumbukan Zhang San.
Mungkinkah kekuatan Ye Qingyu telah pun melangkah masuk ke tahap Lautan Pahit?
Walaupun dia belum mencapai tahap Lautan Pahit, dia sekurang-kurangnya telah menjejakkan kaki ke sempadan tahap Lautan Pahit itu.
Itulah penilaian yang bersarang di benak fikiran setiap orang.
Ya ampun, seseorang yang belum berumur enam belas tahun disyaki sebagai seorang pakar tahap Lautan Pahit?
Memikirkan pengaruh di sebalik seseorang seperti itu sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja berasa pening kepala.
“Memandangkan Marqus Ye tidak apa-apa, maka saya boleh menarik nafas lega. Saya tidak mahu menyusahkan awak lagi, dan kita harus berpisah di sini. Kami akan mengunjungi Marqus Ye pada lain hari,” seorang pegawai dari Kem Kanan menangkupkan tangan lalu berkata.
Kata-kata itu amat berkias, secara samar-samar melahirkan niat yang mesra.
Sebaik sahaja dia melafazkan kata-kata itu, orang lain turut tersedar.
“Marqus Ye benar-benar seorang pahlawan muda…” “Tentera agak kucar-kacir hari ini.” “Selamat tinggal!” “Semangat seorang anak muda, awak perlu lebih menjaga diri pada masa hadapan.”
Individu-individu lain bersuara dan melontarkan sepatah dua kata, sama ada mempamerkan niat baik mereka atau sekadar berbasa-basi. Mereka kemudiannya menangkupkan tangan sebagai tanda pamitan. Perkara hari ini agak rumit. Dua pihak yang bertelagah, jika dilihat pada keadaan sekarang, kedua-duanya adalah tokoh yang hebat. Sebahagian besar memuji Ye Qingyu setinggi langit, tetapi mereka sama sekali tidak berhasrat untuk menyinggung perasaan Zhang San. Oleh itu, tindakan terbaik adalah dengan segera beredar.
Ye Qingyu tidak banyak bercakap, hanya tersenyum sambil menangkupkan tangan untuk mengiringi pemergian mereka.
Tidak lama kemudian, dewan besar yang dipenuhi orang ramai itu kembali kosong. Kumpulan yang merempuh masuk tadi berpusing dan beredar.
“Adik Ye, saya pun hendak balik dulu. Malam ini giliran saya bertugas, dan tinggal sejam lagi sebelum panggilan senarai nama. Kita jumpa lagi pada lain hari.” Liu Zongyuan menghembuskan nafas lega, menangkupkan tangan tanda berpisah.
“Qingyu tidak akan melupakan budi bantuan abang Liu hari ini.” Ye Qingyu tidak berkata separuh jalan, sebaliknya menyatakan pendiriannya dengan jelas.
Liu Zongyuan tersenyum nipis dan mengangguk perlahan. Dia membawa para askar di bawah seliaannya lalu pergi.
“Willow Besar, aku, Wen Tua akan memohon maaf kepada kau pada hari lain. Beberapa hari lalu aku ada menyinggung perasaan kau, hari ini aku mesti akui bahawa kau, Willow Besar adalah seorang lelaki sejati. Aku mengagumi kau,” jerit Wen Wan ke arah belakang Liu Zongyuan.
Liu Zongyuan tidak menoleh tetapi mengangkat tangan dan melambaikannya, menandakan dia memahami maksudnya.
“Si bodoh itu, sekurang-kurangnya dia masih mempunyai hati perut, berani bersuara…” Wen Wan berpeluk tubuh sambil berkata dengan senyuman.
Ye Qingyu mengangguk, lalu berkata dengan nada berfikir, “Betul juga, jika lelaki sejati seperti Liu Zongyuan wujud di mana-mana dalam kalangan tentera, orang seperti Zhang San masakan berani bersikap angkuh… [Tentera Perkampungan Youyan], jika mereka benar-benar mahu melancarkan serangan terhadap Mahkamah Syaitan Tanah Salji, dengan sikap mereka sekarang, ia pasti akan menjadi sukar.”
Wen Wan mengejek sambil ketawa, “Kau ni budak mentah, apa yang kau tahu. Sememangnya ada sebab kenapa Zhang San begitu angkuh. Perkara ini tidak semudah yang kau bayangkan. Kali ini kau memang menjadi tumpuan, tetapi masalah yang kau cetuskan juga bukan sedikit. Ada masanya kau perlu mengalah dan tunduk sedikit. Hari ini kau benar-benar mencabar si gila Zhang San untuk bertindak…”
Ye Qingyu tersenyum. “Saya memang sengaja mencabar dia untuk bertindak.”
“Eh?” Wen Wan terkelu seketika, kemudian mendadak mengamuk. “Maksud kau, kau bosan hidup lama? Ini benar-benar gila.”
Ye Qingyu ketawa kecil. “Sudang tentu saya yakin pada diri sendiri, barulah saya buat begini. Zhang San memang berada di tahap Lautan Pahit, tetapi mengikut khabar angin, Zhang San memilih untuk memasuki tahap Lautan Pahit semasa dia berada di tahap Tiga Puluh Lima Mata Air Roh. Oleh itu, dia hanya boleh dianggap sebagai pakar tahap Lautan Pahit palsu. Hari ini saya mencabar dia untuk menyerang, supaya saya dapat menguji kekuatannya.”
“Kau memang sudah gila sepenuhnya.” Wen Wan merenungnya tajam. “Pakar tahap Lautan Pahit palsu kepada seorang pakar mata air roh, tetap juga sebuah gunung besar yang tidak akan mampu mereka daki. Tak sangka kau…”
Ye Qingyu tertawa tetapi tidak berkata apa-apa.
Wen Wan tiba-tiba menyedari sesuatu, “Kau budak bertuah, bagaimana kau tiba-tiba tahu begitu banyak perkara? Memahami Zhang San secara terperinci, siapa yang beritahu kau? Lagi satu, jujur dengan aku, sebenarnya kau sudah sampai ke tahap mana?”
Liu Zongyuan melangkah keluar dari Menara Kuda Putih. Senyuman di wajahnya perlahan-lahan hilang.
Kejadian hari ini di Menara Kuda Putih, bagi dirinya, adalah satu keputusan yang amat besar.
Untuk bertindak menentang seseorang seperti Zhang San secara terbuka adalah sesuatu yang tidak terlintas di fikirannya walaupun dalam mimpi tiga bulan lalu.
Bagi seorang pegawai pertempuran ketenteraan sepertinya, Zhang San boleh menjentik pergelangan tangannya sahaja dan itu sudah cukup untuk menghantarnya ke neraka.
Walaupun dia tidak menyukai cara Zhang San bertindak, Liu Zongyuan tetap akan memilih untuk mengelak daripada berurusan dengannya.
Namun hari ini, dia sendiri tidak faham mengapa dia begitu berani menegur Zhang San di hadapan begitu ramai orang.
Sungguhpun begitu, dia tidak menyesal.
Kerana dia telah menerima persahabatan sejati daripada Ye Qingyu.
Para pegawai di belakangnya mempamerkan riak kebimbangan di wajah mereka. Mereka kini sedang merisaukan nasib tuan masing-masing.
Semasa mereka melintasi restoran di seberang jalan, mereka melihat dua susuk tubuh yang familiar keluar dari dalam bangunan itu. Mereka tidak lain ialah [Santo Lukisan] Liu Yuqing berserta anak muridnya, Xing’er.
IndoWebNovel – indowebnovel.com
Komentar